SEJARAH KEMASUKAN ISLAM KE BORNEO
Sebelum orang Barat
mengenali Pulau Borneo (Kalimantan) pada abad ke-16, kerajaan Brunei telah lama
wujud dan keseluruhan wilayah Kalimantan diletakan di bawah pemerintahannya.
Perkataan ‘Borneo’ diambil daripada ejaan Barat bagi perkataan ‘Brunei’. Sarawak
merupakan salah satu daripada kawasan jajahan Brunei di Kalimantan. Brunei pada
pertengahan abad ke-16 dikenali sebagai sebuah pusat perdagangan bebas yang
terkenal di kepulauan Melayu sebelum kewujudan Melaka. Tradisi sejarah Brunei
asalnya adalah merujuk kepada kerajaan Johor atau kesultanan Riau-Johor yang
telah memainkan peranan penting dalam mengislamkan Brunei sebelum menerima
pengaruh Portugis pada tahun 1511, menakluki Melaka.
Sebelum
kedatangan James Brooke ke Sarawak, kawasan dan bentuk topografinya tidak
mendapat perhatian daripada para pengembara Barat. Hanya pada tahun 1530,
seorang pengembara portugis, Gonsavo Periera telah menyebutkan tentang sebuah
tempat yang diberi nama ‘Cerava’ yang sangat penting sebagai pelabuhan dan menjadi
kediaman utama kepada pedagang-pedagang kaya. Justeru, Santubong yang terletak
di muara sungai Sarawak telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang menjalinkan
hubungan perdagangan dua hala dengan India dan China lewat abad ke-7 Masihi.
Terdapat sesetengah sarjana yang percaya bahawa hubungan ini bermula sejak awal
abad ke-7. Eksport utama dari Santubong adalah emas, lantas pada abad ke-10 dan
ke-11, kedudukan Santubong sebagai pelabuhan semakin berkembang maju dan
negeri-negeri di sekelilingnya menjadikan Santubong sebagai pelabuhan untuk
menyalurkan barangan dagangan masing-masing.[i]
Walaupun,
masih kekurangan maklumat tentang sejarah Sarawak sebelum abad ke-19,
perbincangan mengenai sejarah awal kedatangan orang Melayu adalah berteraskan kepada
teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana, penemuan arkeologi dan tumpuan
terhadap kesultanan Brunei kerana Sarawak merupakan tanah jajahan Brunei.
Begitu juga soal mengenai kemasukan Islam ke Sarawak. Teori-teori yang
dikemukakan para sarjana menjadi asas perbincangan iaitu bilakah Brunei memeluk
agama Islam maka, akan dapat ditentukan tempoh masa Islam mula bertapak di
Sarawak.
Dari
perspektif arkeologi, para ahli arkeologi telah membuat galicari di beberapa
buah tapak di kawasan nusantara. Di antara tapak galicari yang menjadi tumpuan
arkeologis termasuklah Gua Niah, Sarawak. Melalui ujian karbon yang digunakan,
dapat mengesan usia dan umur sesuatu benda telah dijalankan ke atas
kerangka-kerangka purba yang ditemui di Gua Niah. Berdasarkan keputusan ujian
itu, para ahli arkeologi telah merumuskan bahawa orang Melayu telah mendiami
kawasan itu sejak 30,000 tahun dahulu iaitu sejak zaman mesolitik lagi[ii].
Penemuan ini telah membuktikan bahawa Gua Niah yang terletak di Daerah Subis,
merupakan tempat pertama didiami oleh orang Melayu dan faktor penarikan awal
kedatangan orang Melayu di Sarawak. Bukti-bukti yang berusia lebih kurang
40,000 tahun ini menunjukkan bahawa sudah ada penempatan awal manusia sejak
sekian lama.
Teori
Melayu Proto berasal dari Yunnan disokong oleh R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R
Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Melayu Proto (Melayu
asli) yang pertama sekali datang mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian
sementara golongan kedua, Melayu Deutro yang tiba sekitar tahun 1500 S.M dan
mendiami pesisir pantai mempunyai kemahiran menangkap ikan yang tinggi. Semasa
berlakunya migrasi itu, kedua-dua golongan berkahwin dengan
masyarakat-masyarakat dari pulau-pulau selatan seperti Jawa, serta penduduk
tempatan yang berasal dari keturunan Australasia dan Negrito.
Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa pihak yang tidak mempersetujui teori
ini. Antara bukti-bukti lain yang menyokong teori ini termasuklah alatan-alatan
batu yang dijumpai di Kepulauan Melayu sama dengan alatan-alatan dari Asia
Tengah. Persamaan adat resam Melayu dan Assam. Bahasa Melayu dan bahasa Kemboja
adalah serumpun kerana tempat asal orang-orang Kemboja berasal dari sumber
Sungai Mekong[iii].
Menurut
Heine-Geildern, orang Melayu datang dari daerah Asia Tengah atau Yunan. Mereka
telah turun dalam bentuk penghijrahan atau dalam bentuk beberapa gelombang
pergerakan manusia merentasi banjaran gunung dan jambatan tanah ke daerah
nusantara kira-kira pada 5000 tahun sebelum masihi[iv]. Gelombang pertama
kedatangan orang Melayu iaitu ‘Melayu Proto’ yang dikenali sebagai golongan
pendatang pertama yang tinggal di dalam gua-gua, gunung ganang, pendalaman atau
daratan. Melayu pertama ini merupakan orang asli yang masih terdapat di negara
kita pada masa kini seperti kaum Semai, Temuan dan Jakun. Manakala, menurut
beliau lagi, pendatang yang kedua dikenali sebagai ‘Melayu Deutro’ yang tinggal
di kawasan pesisir. Gelombang kedua ini mempunyai ketamadunan dan kebudayaan
yang lebih tinggi. Golongan ini merupakan orang Melayu moden masa kini.
Seorang
lagi ahli arkeologi Barat iaitu Peter Bellwood yang bersetuju tentang
kedatangan awal dan arah penghijrahan orang Melayu dari Asia Tengah ke
kawasan-kawasan yang kemudiannya menjadi wilayah budaya Melayu. Beliau
berpendapat bahawa penghijrahan yang berlaku secara beberapa gelombang manusia
yang berlaku pada 5000, 3000 dan 1500 tahun sebelum masihi[v]. Penghijrahan
pertama telah membawa gelombang pertama ke arah Taiwan. Ketamadunan orang
Melayu yang berhijrah ke Taiwan mulai meningkat dengan peredaran masa dan
zaman. Mereka telah mempunyai kemajuan dalam bidang pembinaan
kenderaan-kenderaan laut. Lantaran itu, keadaan ini telah membawa mereka untuk
berhijrah dari sebelah timur ke sebelah selatan dengan berdayung ke kepulauan
Filipina. Ada di kalangan mereka yang tersasar ke daerah Kepulauan Pasifik dan
Kepulauan Jawa. Namun, penghijrahan kemudiannya telah membawa orang Melayu ke
Kepulauan Borneo serta ke sebelah utara tanah Melayu.
Teori
penyebaran agama Islam di gugusan kepulauan Melayu mengutamakan perdagangan
sebagai faktor penting dalam proses asimilisasi negara-negara di Asia Tenggara.
Walaupun, para sarjana pada umumnya berpendapat bahawa pedagang-pedagang Arab
yang mula-mula sekali membawa Islam ke kawasan Timur sekaligus mengukuhkan lagi
bukti bahawa proses penyebaran agama Islam selanjutnya yang memainkan peranan
utama adalah pedagang-pedagang peribumi sendiri. Dua pelabuhan di gugusan
Kepulauan Melayu yang terkemuka dari abad ke-15 hingga ke-17 ialah Melaka dan
Acheh. Hubungan kedua-dua pelabuhan adalah sangat erat dengan Kalimantan. Di
Kalimantan, pelabuhan yang utama iaitu Brunei. Namun, hubungan perdagangan awal
telah pun wujud antara China dan Kepulauan Melayu. Kehadiran pedagang-pedagang
Cina di Brunei (disebut sebagai Po-ni atau Bo-ni) pada zaman sung (T.M.
960-1279) terbukti kerana terjumpa batu nisan di Rangas, Bandar Seri
Begawan[vi].
Kalimantan
juga terdedah kepada pengaruh dari tempat-tempat lain seperti Sulu dan Jawa.
Kedua-dua tempat ini telah menerima pengaruh Islam pada abad ke-15. Tetapi,
memandangkan terdapatnya pedagang Cina yang datang ke Nanyang yang beragama
islam dan kedatangan rombongan Cina pada zaman Maharaja Yung Lo yang dipimpin
oleh Laksamana Cheng Ho[vii]. Beliau yang sudah sinonim dalam sejarah
ketamadunan Melayu yang merupakan seorang Islam telah banyak memberikan kesan
terhadap negara-negara di kepulauan Melayu. Kedaan ini telah memperlihatkan
betapa China memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam di rantau
nusantara sehingga ke Kepulauan Borneo khususnya Sarawak.
Proses
pengislaman di Kepulauan Borneo lebih tepat lagi Sarawak sememangnya kompleks.
Sarawak pada ketika itu di bawah pengaruh kesultanan Brunei. Ruang lingkup
perbicaraan dilihat pada bilakah pemerintah Brunei mula-mula memeluk agama
islam. Mengikut tradisi Kesultanan Brunei diasaskan pada kitab yang dikenali
sebagai Salasilah atau Tarsilah. Seperti Sejarah Melayu terdapat beberapa versi
kitab itu. Menurut tradisi Brunei, pemerintah pertama yang memeluk agama Islam
bernama Awang Alak Betatar. Dengan itu baginda menggunakan gelaran Sultan
Muhammad. Baginda memeluk agama Islam selepas lawatannya ke Johor dan
perkahwinannya dengan Puteri Johor.
Sama
seperti teks-teks Melayu Klasik di Tanah Melayu, Tarsilah tidak mempunyai
tarikh yang tepat. Terdapat sesetengah sarjana yang mengatakan pemerintahan
Sultan Muhammad dikatakan bermula pada awal abad ke-15. Walaubagaimanapun,
tarikh ini sukar untuk diterima kerana kerajaan Johor pada masa itu belum lagi
wujud. Hal ini telah menimbulkan persoalan dan mungkin bukan Johor yang
mengislamkan Awang Alak Betatar. Berdasarkan maklumat Ming Shi Lu (Rekod Wangsa
Ming), pemerintah Melaka sendiri yang memeluk agama Islam lebih kurang pada
tahun 1414 yang merupakan tempoh Megat Iskandar berada di China yang sudah
diketahui pada ketika itu pemerintah Melaka yang melawat China memakai gelaran
Parameswara atau Permaisura[viii].
Dalam
sebuah kajian mengenai kesultanan Brunei hasil penulisan W.P.Groeneveldt dalam
bukunya Notes on The Malay Archipelago and Malacca Compiled From Chinese,
Batavia, 1876, dapat memberikan tarikh yang sama iaitu 1371 apabila Sultan
Muhammad Shah menghantar utusan ke China. Menurut sumber berkenaan, yang
menjadi mubaligh Islam ke Brunei pada zaman Awang Alak Betatar iaitu Syarif Ali
telah datang ke Brunei sebelum T.M 1375[ix].
Seorang
sejarawan Barat, Tom Harrison turut berpendapat bahawa tarikh kedatangan Islam
ke Kalimantan Barat dan Utara yang tidak jauh berbeza dengan rekod Ming. Kajian
beliau adalah berdasarkan kepada tiga
jenis bahan; pertama, sebuah buku Teks Idahan dari Sabah; kedua, Tarsilah Brunei
dan ketiga; Tusut atau salasilah kaum Iban. Teks Idahan merupakan suatu
salasilah yang tetumpu kepada Abdullah, dikatakan orang pertama yang memeluk
agama Islam, pada tahun T.M 1408. Manakala, dalam Tarsilah Brunei pula,
Harrison berpendapat bahawa pemerintahan Brunei telah memeluk agama Islam pada
tahun T.M. 1350. Tusut kaum Iban menurut beliau pula bermula dengan Merom
Pangai yang mengikut kepercayaan orang Iban yang berasal dari bahagian barat
Sarawak. Bermula daripada Merom Panggai dalam Tusut, digalurkan keturunannya
sehingga 27 generasi. Keturunan generasi ketiga Merom Panggai bernama Abang
Musa yang telah bermastatutin di Sumatera dan menjalankan kegiatan perdagangan
sehingga ke Brunei[x]. Hal ini telah membuktikan bahawa Abang Musa hidup di
sekitar 1380 Masihi tarikh yang telah dikenal pasti oleh Harisson sebagai ‘The
First significant Muslim Impacts on Brunei’ berasaskan Teks Idahan dan Tarsilah
Brunei.
Harisson
sendiri masih tidak berpuas hati dengan kesimpulan yang telah diberikan
olehnya. Seharusnya, dibezakan di antara penemuan, kesan dan pengislaman orang
Melayu keseluruhannya yang terus dipolemikan oleh para sarjana. Sebagaimana
yang disedari oleh Tom Harrison, ketibaan Islam dan pengislaman masyarakat
perlu dibezakan. Dalam konteks Sarawak jelas memberikan gambaran bahawa senario
asimilisasi di sekitar kesultanan Brunei tidak memberikan makna bahawa gambaran
yang begitu jelas tentang senario yang berlaku di Sarawak khususnya.
Teori
kedatangan Islam ke Sarawak diperkukuhkan lagi menurut Low iaitu seorang
sejarawan Barat yang mengatakan bahawa terdapat bukti daripada tradisi penduduk
Kalimantan serta kitab-kitab Jawa bahawa penduduk Jawa adalah pendatang yang
paling awal menetap di kawasan selatan dan barat Pulau Kalimantan sehingga
sampai ke sebelah utara iaitu Sarawak. Pada ketika itu, Jawa dikuasai oleh
kerajaan Majapahit. Setelah kejatuhan kerajaan majapahit pada penghujung abad
ke-15, Islam telah muncul sebagai agama yang dominan di Pulau Jawa. Justeru,
beliau telah menyimpulkan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada
penduduk Jawa yang datang ke Kalimantan bermula pada abad ke-16 terdiri
daripada orang Islam.
Berdasarkan teori yang dijelaskan, orang Melayu beragama islam yang
paling awal datang ke Sarawak terdiri daripada penduduk dari Sumatera dan
Semenanjung. Hal yang demikian mungkin disebabkan tradisi Sarawak yang merujuk
kepada kerajaan Johor sebagai punca kedatangan Islam di samping, kewibawaan kedudukan Datu Merpati. Dalam
perihal ini, perlu diperhatikan bahawa keturunan penghijrahan yang awal datang
adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemerhati Barat pada abad
ke-19, biasa dikenali sebagai ‘orang Melayu’ yang sememangnya mereka adalah
beragama Islam.
Soal pokok
yang masih belum dikenalpasti adalah bila Islam mula bertapak di bumi Sarawak.
Harus dipertimbangkan dari perspektif pengaruh Brunei ke atas Sarawak sebelum
tahun 1317. Kedatangan orang Melayu dari Sumatera, mempunyai kebarangkalian
yang lebih tepat kerana tempoh kedatangan yang lebih awal berasaskan
pengetahuan mutakhir iaitu Sumatera lebih dahulu menerima Islam daripada Brunei
atau Melaka.
Melalui
pembicaraan tentang teori awal kedatangan orang Melayu ke Sarawak dapat
diperlihatkan tentang ketertinggian tamadun yang dimiliki oleh orang Melayu
sejak Zaman pertengahan lagi. Ketamadunan awal ini menjadi asas kepada
pembentukan dan perkembangan pelbagai proses dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Tahap yang seterusnya iaitu setelah orang Melayu menerima pengaruh Islam
menunjukan bahawa mereka telah mengalami satu pencapaian yang sangat
membanggakan. Justeru, generasi ‘muda’ Melayu era kini seharusnya tidak
melupakan asal usul mereka demi memartabatkan ketuanan orang Melayu di tanah
air sendiri.
No comments:
Post a Comment