Tuesday 14 October 2014

PERKEMBANGAN NASIONALISME DI MALAYSIA

PERKEMBANGAN NASIONALISME DI MALAYSIA
 PENGENALAN

Tahukah anda nasionalisme atau faham kebangsaan sangat penting dalam usaha  pembentukan negara bangsa dalam sesebuah negara. Umumnya hampir setiap sejarah pembentukan negara dan bangsa di dunia ini bermula dengan gerakan perjuangan rakyat iaitu nasionalisme. Begitu juga dengan negara kita Malaysia. Nasionalisme dan semangat negara bangsa telah bermula di Eropah pada abad ke-18, khususnya selepas berlaku Revolusi Perancis pada tahun 1789.


Menurut Hans Kahn, nasionalisme merupakan gerakan untuk menciptakan masyarakat yang lebih terbuka  dan untuk mendapatkan kebahagiaan perseorangan, bagi menjamin kemerdekaan warganegara dan membebaskan akal dan fikiran. Dengan kata lain, nasionalisme itu adalah satu semangat.1 Oleh itu, kebudayaan seperti agama, bahasa dan lain-lain boleh menimbulkan semangat nasionalisme. Melalui elemen-elemen tersebut juga, diharapkan mampu mewujudkan semangat yang dapat melahirkan satu identiti yang baru bagi negara yang dijajah. Semangat nasionalisme juga dapat melahirkan perasaan bersatu padu di antara rakyat yang dijajah. R. S. Chavan pula mentafsirkan nasionalisme sebagai sentiment, loyalty of symmpathy. 2 Nasionalisme merupakan pemikiran dan tindakan yang menunjukkan cinta kepada bangsa dan negara. Elemen penting yang terkandung dalam nasionalisme ialah patriotisme iaitu perasaan cinta kepada tanah air. Nasionalisme juga merangkumi gerakan yang dilancarkan bagi menjamin ataupun mengembalikan kebaikan golongan majoriti iaitu selalunya rakyat bagi meruntuhkan status quo yang sekian lama seperti gerakan revolusi yang telah berlaku dalam Revolusi Perancis. Dalam konteks Asia Tenggara, semangat nasionalisme wujud dengan serius dalam abad ke-20. Manakala dalam konteks orang Melayu pula, nasionalisme merujuk kepada perjuangan mereka untuk mendapatkan kembali kedudukan unggul dalam negaranya sendiri, iaitu sebelum kedatangan penjajah.

Secara keseluruhannya, nasionalisme adalah bertujuan untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing. Namun begitu pengertian nasionalisme dalam konteks lepas merdeka pula lebih merupakan sebagai  satu perjuangan  bagi mempertahankan maruah dan mempertinggikan martabat serta kedaulatan negara.


BENTUK DAN PERKEMBANGAN NASIONALISME

Secara umum, sarjana yang melihat perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu dari sudut masyarakat peribumi (Melayu) dan masyarakat imigran. Dari sudut masyarakat peribumi, kita boleh klasifikasikan kepada dua bentuk perkembangan ataupun gerakan iaitu gerakan radikal (bersenjata), dan sederhana iaitu gerakan yang dijalankan melalui pertubuhan dan desakan media massa.

Walau bagaimana pun pengkelasan ini hanya untuk memudahkan pengkaji-pengkaji menerokai perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu. Bagi skop dan pendekatan pelajaran ini, saya akan membahagikan pergerakan nasionalisme kepada dua iaitu pergerakan bersenjata dan tidak bersenjata.


GERAKAN NASIONALISME BERSENJATA

Jika kita kaitkan pengertian semangat nasionalisme dengan sebarang penentangan masyarakat tempatan terhadap kuasa asing, maka perkembangan semangat nasionalisme di Malaysia boleh dikatakan bermula apabila orang Melayu Melaka menentang kuasa-kuasa asing yang cuba menjajah mereka seperti kuasa Portugis dan Belanda,  dan juga  di Kedah yang menentang penguasaan Siam.

Terdapat beberapa sebab utama mengapa masyarakat tempatan melancarkan pemberontakan terhadap penjajah Inggeris, antaranya ialah faktor sosioekonomi, agama dan adat resam, serta kepimpinan.

Aspek sosioekonomi boleh dikatakan sebagai sebab utama terhadap kewujudan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin dan penduduk tempatan. Ini kerana penguasaan British terhadap Tanah Melayu telah menyebabkan wujud perubahan sosial  dan ekonomi  dalam masyarakat tempatan. Pembaharuan-pembaharuan yang dijalankan oleh British tidak boleh diterima oleh masyarakat tempatan pada masa itu. Contohnya dalam soal pengutipan cukai. Sebelum kedatangan British, pembesar-pembesar Melayu mempunyai autoriti dalam aktiviti ekonomi ini. Namun demikian, berikutan dengan penjajahan British, mereka telah mengambil alih kuasa pemungutan cukai ini dan telah turut mengenakan beberapa cukai yang lain ke atas penduduk tempatan. Perkara ini telah membangkitkan kemarahan di kalangan rakyat di Tanah Melayu pada masa itu.

Dari segi kepimpinan pula, penguasaan British di Tanah Melayu di lihat sebagai mencabar kewibawaan pembesar Melayu sebagai pemimpin tradisi tempatan. Sikap pihak British yang cuba campur tangan dalam hal ehwal agama dan adat-adat Melayu juga telah turut menimbulkan kemarahan masyarakat tempatan. Sehubungan dengan itu tercetus usaha dan percubaan untuk membebaskan diri daripada cengkaman British seperti percubaan Sultan Kedah untuk menduduki  kembali Pulau Pinang pada tahun 1789, pemberontakan  Dol Said di Naning (1895), peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch (1875), pemberontakan Datuk Bahaman di Pahang (1895), pemberontakan Tok Janggut di Pasir Putih (1915), dan penentangan yang dilancarkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada tahun 1928.

Penentangan masyarakat tempatan terhadap pihak Inggeris bermula akibat tindakan British sendiri yang disifatkan sebagai cuba campur tangan dalam urusan pentadbiran Naning yang ditadbirkan oleh Dol Said. Tindakan British yang cuba menghalang Penghulu Dol Said menyelesaikan kes-kes jenayah di Naning serta penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan ke atas Melaka turut dijalankan di Naning telah menimbulkan kemarahan penduduk tempatan. Selain itu British juga cuba menghalang hubungan yang telah sedia wujud antara Dol Said dan Belanda. Halangan ini jelas apabila mereka cuba menyekat Dol Said daripada menghantar hasil tahunan Naning kepada Belanda sebagai tanda persahabatan.

Akibat tindakan British ini, Dol Said telah melancarkan pemberontakan terhadap penjajah British. Siri pemberontakan ini berlangsung dalam tempoh dua tahun, iaitu dalam tempoh 1831 sehingga 1833. Dol Said kemudiannya telah dikalahkan oleh tentera British dan menyerah diri pada 4 Februari 1833. 3

Rata-rata pergerakan menentang Inggeris pada masa tersebut merupakan gerakan-gerakan kecil dan bersifat gerakan tani (peasent movement). Contohnya, penentangan yang dilakukan oleh Tok Janggut di Pasir Putih, Kelantan. Pemberontakan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan atau dikenali sebagai Tok Janggut telah mengejutkan British apabila Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya bertindak membakar Pejabat Daerah, kebun-kebun, dan kediaman milik pegawai-pegawai British. Bagi menumpaskan penentangan ini, Penasihat British Kelantan telah meminta bantuan pasukan polis dari Singapura dan bantuan polis tambahan. Peristiwa ini dikenali sebagai Perang Tok Janggut.

Pertempuran telah berlaku di antara Tuk Janggut dan pengikut-pengikutnya dengan tentera-tentera British. Beliau kemudiannya telah dibunuh oleh British dan mayatnya diarak di Pasir Putih dan Kota Bharu serta digantung di Padang Merdeka selama beberapa ketika sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.4 Tindakan British terhadap mayat Tok Janggut ini merupakan satu penghinaan besar yang telah dilakukan oleh British ke atas umat Islam. Namun demikian, ia bermaksud untuk memberikan pengajaran kepada orang Melayu supaya tidak menentang mereka.

Pada umumnya, dari segi gerakan-gerakan nasionalisme awal dalam bentuk bersenjata ini dapat di lihat sebagai berbentuk menyeluruh, iaitu berlaku di hampir kebanyakan negeri di Tanah Melayu dan juga di Sabah. Daripada segi motif pemberontakan, kita dapat rumuskan bahawa hampir kesemuanya mempunyai persamaan, iaitu bertujuan untuk menghalau penjajah dan mengembalikan nilai-nilai murni dalam kehidupan  lama  serta menegakkan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Walaupun gerakan nasionalisme peringkat awal yang berbentuk gerakan bersenjata, namun hampir kesemuanya telah gagal mencapai matlamat perjuangan. Tahukah anda mengapakan gerakan-gerakan ini gagal mencapai matlamatnya?

Kegagalan gerakan-gerakan ini adalah kerana tidak wujud jaringan yang kukuh di kalangan penduduk di Tanah Melayu dalam menentang penjajah. Secara umumnya, gerakan ini hanya berbentuk setempat dan tidak menampakkan satu bentuk gerakan massa. Selain itu, ia juga hanya berbentuk sementara dan bergerak secara kecil-kecilan, serta boleh dikategorikan sebagai gerakan tani sahaja.

Sementara itu, dalam masa yang sama, penyatuan dari segi semangat kebangsaan di kalangan penduduk di Tanah Melayu pada akhir tahun 1890-an dan awal tahun 1900-an sukar di laksanakan kerana tidak wujud perpaduan dan rasa kekitaan di kalangan penduduk. Menurut J.M. Gullick, penduduk Tanah Melayu yang tinggal di negeri-negeri berlainan masing-masing mempunyai perasaan benci-membenci dan curiga-mencurigai antara satu sama lain. Contohnya orang Perak benci dan cemburu terhadap orang luar Perak, manakala orang Selangor menganggap orang Kedah yang menetap di Selangor sebagai hina dan asing. Sementara itu orang Pahang tidak suka terhadap polis-polis yang bukan dari negeri mereka.5


SEMANGAT NASIONALISME BUKAN BERSENJATA

Semangat kebangsaan bukan bersenjata lebih berupa semangat kebangsaan yang digerakkan oleh tokoh-tokoh intelektual tempatan yang berusaha membawa perubahan pemikiran dalam masyarakat. Selain itu, ia juga meliputi perkembangan pertubuhan-pertubuhan  Melayu yang bersifat bukan politik, separa politik dan yang bersifat politik. Perkembangan nasionalisme ini juga lebih disebabkan oleh pendedahan dan peluang-peluang yang diperoleh oleh masyarakat terhadap ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka terhadap perkembangan politik luar negeri. Ia dikategorikan sebagai nasionalisme bukan bersenjata kerana pendekatan yang digunakan oleh para tokoh pada masa tersebut adalah secara ilmuan iaitu menggunakan media massa, madrasah-madrasah juga sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian. Mereka juga banyak melahirkan cita-cita mengenai pembaharuan, aspirasi ke arah kemajuan ekonomi, politik dan sosial melalui tulisan-tulisan dan pandangan mereka yang dimuatkan dalam akhbar-akhbar dan majalah zaman itu.

Nasionalisme bukan bersenjata ini juga turut meliputi perkembangan pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai kaitan langsung dengan kaum-kaum bukan Melayu, khususnya Cina dan India sama ada yang bersifat bukan politik mahupun politik. Corak dan perkembangan nasionalisme di kalangan mereka juga sama dengan perkembangan nasionalisme di kalangan penduduk peribumi.

Golongan Agama

Kesedaran nasionalisme Melayu moden di Tanah Melayu  mempunyai hubungan yang rapat dengan gerakan pembaharuan ataupun islah Islam yang sedang berkembang di Asia Barat pada masa itu. Gerakan ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Syed Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, dan Rashid Ridha. Idea pembaharuan mereka banyak dimuatkan dalam media massa seperti majalah-majalah yang  diterbitkan oleh mereka iaitu antara lainnya ialah Al-Manar dan Al-Urwatuk Wuthqa.

Gagasan pembaharuan yang diutarakan oleh mereka telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar pelajar-pelajar Melayu dari Tanah Melayu yang melanjutkan pengajian mereka di Timur Tengah seperti di Universiti Al-Azhar. Mereka telah menubuhkan persatuan kebajikan  yang dinamakan Al Jamiah Al Khariah yang berperanan menjaga kebajikan pelajar-pelajar dan menyatukan mereka. Selain itu, pelajar-pelajar tersebut telah menerbitkan akhbar Seruan Azhar dengan kerjasama daripada pelajar-pelajar Islam dari Indonesia. Mereka juga telah membentuk sebuah persatuan, iaitu Perkumpulan Pemuda Indonesia-Malaya (PERPINDO) bagi dijadikan landasan utama dalam menyalurkan idea-idea mereka. Kerjasama yang diwujudkan antara pelajar dari kedua-dua buah negara ini didorong oleh persamaan-persamaan yang wujud dalam sejarah negara dan perjuangan bangsa Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia. Selain itu, persamaan dari segi rumpun bangsa, agama dan bahasa serta keturunan  juga telah mengeratkan hubungan sesama pelajar.

Idea reformasi (islah) yang sedang berkembang di Asia Barat itu telah dibawa ke Tanah Melayu oleh para pelajar lepasan universiti di Timur Tengah seperti Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Haji Abas Mohammad Taha, dan Syed Syeikh Al-Hadi. Tokoh-tokoh ini merupakan individu yang memainkan peranan yang sangat besar dalam pergerakan nasionalisme pada zaman tersebut. Pusat pergerakan mereka ialah di Singapura, Pulau Pinang, dan beberapa tempat lagi. Mereka bertugas sebagai guru agama, mubaligh, pengarang, dan juga  peniaga.

Pembaharuan yang disarankan oleh golongan islah ini banyak dimuatkan dalam akhbar-akhbar dan majalah yang diterbitkan oleh mereka. Antara majalah dan akhbar yang telah diterbitkan ialah Majalah Al-Iman (1906) dan Al-Ikhwan (1926) di Singapura, manakala di Pulau Pinang pula mereka menerbitkan akhbar Idaran Zaman (1925) dan akhbar Saudara (1928). Akhbar dan majalah ini antara lainnya memuatkan pandangan-pandangan golongan reformis terhadap perlunya bangsa Melayu bangkit seiring dengan bangsa lain untuk sama-sama bersaing mengejar kemajuan.

Di samping itu, mereka juga menanamkan cita-cita untuk membawa bangsa Melayu dalam persaingan dengan bangsa-bangsa lain untuk sama-sama dikenali. Contohnya dalam akhbar Chahaya Pulau Pinang menyatakan, antara tujuan penerbitannya ialah

“…bagi kita Melayu ini mencari  kepandaian dan perkhabaran yang baik-baik seperti orang yang di bahagian atas angin itu; oleh itu, telah dikeluarkan akhbar yang beriwayatkan perkhabaran yang di bahagian atas angin  dan di bawah angin supaya hidup nama Melayu ini di dalam dunia…”6

Mereka juga telah menggunakan media sebagai alat untuk mengkritik bangsa Melayu yang masih mengamalkan adat-adat lama yang disifatkan sebagai kolot serta bertentangan dengan ajaran Islam. Menurut akhbar tersebut, telah tiba masanya bagi orang-orang Melayu untuk mengorak langkah ke arah sesuatu yang lebih berani untuk mendapatkan kemajuan. Mereka telah mengambil contoh bagaimana tindakan Jepun yang telah menyerang China yang di lihat sebagai perjuangan yang cukup berani kerana China jauh lebih besar dan kuat berbanding dengan Jepun.

Golongan reformis yang dikenali sebagai Kaum Muda, muncul sebagai tenaga sosial yang baru yang kemudiannya telah menyebabkan berlakunya pertentangan nilai di antara mereka dengan golongan yang sedia ada dalam masyarakat Melayu pada masa itu, iaitu Kaum Tua. Kaum Tua merupakan pemimpin pendapat bagi masyarakat Melayu pada masa tersebut. Dalam konteks perbezaan pandangan, Kaum Muda di lihat sebagai golongan anti-establishment dan membawakan gerakan pembaharuan Islam. Mereka menentang pandangan dan pendapat yang dibawakan oleh Kaum Tua. Kaum Muda telah menjadikan madrasah-madrasah sebagai pusat kegiatan mereka, manakala Kaum Tua telah menjadikan  pondok sebagai institusi mereka

Pada umumnya, golongan reformis Islam terdiri daripada golongan yang tidak puas hati dengan keadaan masyarakat Islam pada masa itu. Bagi mereka dalam perlumbaan dengan tamadun Barat, penganut Islam telah jauh ketinggalan. Implikasinya, kebudayaan Islam dianggap sebagai tidak mengikut arus perubahan zaman terutama apabila menghadapi gelombang tamadun Barat. Mereka juga berpandangan bahawa Islam bukanlah faktor yang telah melemahkan umat Islam tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Menurut W.R. Roff, kebangkitan kesedaran diri (self-consciousness) dan ketegasan diri (self-assertiveness) pada dekad-dekad terakhir sebelum Perang Dunia Kedua lebih diakibatkan oleh ancaman-ancaman terhadap hak dan kepentingan orang Melayu dan juga faktor-faktor ekonomi. Selain itu, kelahiran gerakan ini juga berkait rapat dengan kebimbangan terhadap arus sekularisme dan imperialisme Barat yang sedang melanda Tanah Melayu khususnya dan di seluruh dunia amnya. Walau bagaimanapun, terdapat banyak perkara yang berkait dengan idea-idea dan unsur-unsur yang telah berjaya memajukan Barat dan selaras dengan ajaran Islam yang wajar dicontohi. Menurut Roff, dalam perspektif ini Kaum Muda adalah penghubung antara pure-tradisionalisme dan pure-sekularism.7


Dalam persoalan memartabatkan bangsa Melayu, Kaum Muda melihat ilmu sains dan sistem pendidikan Barat lebih efisien untuk kehidupan moden berbanding dengan sekolah-sekolah pondok yang dipelopori oleh Kaum Tua. Pada umumnya juga sekolah-sekolah pondok tradisional  kebanyakannya menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan pengajaran yang bersifat penghafalan dan pengucapan semata-mata dan tidak bersifat aplikasi. Sebagai satu platform terhadap usaha-usaha dan cita-cita mereka dalam memajukan masyarakat Melayu pada masa itu, Kaum Muda telah menubuhkan Pertubuhan Melayo-Muslim dan mengasaskan lebih banyak sekolah-sekolah moden yang dikenali sebagai madrasah bagi menandingi sekolah-sekolah aliran Inggeris. Beberapa tahun selepas itu madrasah telah menjadi begitu popular sehingga sebahagian daripada sekolah-sekolah pondok telah menukar nama mereka kepada madrasah.

Dari segi kurikulum, madrasah telah memperuntukkan mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, asas-asas matematik dan mata pelajaran mantik (logik) serta mata pelajaran ekonomi dan perdagangan. Pembaharuan dari segi kurikulum yang diadakan dalam sistem pendidikan yang diajar di madrasah-madrasah  pada masa itu bertujuan untuk menyaingi sistem pendidikan di sekolah-sekolah aliran Inggeris. Di sekolah Inggeris, tidak ada mata pelajaran ekonomi dan perdagangan tetapi terdapat mata pelajaran simpan kira.

Sebuah sekolah agama yang agak mendahului zaman  pada masa tersebut ialah Sekolah Al-Diniah di Kampung Lalang, Sungai Rengas, Perak yang di asaskan  pada tahun 1924. Ia telah diasaskan oleh Syeikh Al-Junid yang berasal dari Sumatera. Di sekolah ini, murid-murid didedahkan dengan mata pelajaran perdagangan bukan sahaja dari segi teori tetapi juga dari segi praktikal. Sehubungan dengan itu, murid-murid telah diberikan pendedahan tentang selok-belok perniagaan dengan mengadakan amali di kedai-kedai menjual getah dan kedai-kedai runcit. Apa yang lebih menarik lagi, madrasah ini juga telah mengadakan inisiatif ke arah melahirkan pengusaha-pengusaha Muslim dengan mengeluarkan barangan harian seperti kicap dan sabun.8 Sementara itu pada tahun 1929, Haji Wan Mahmud bin Haji Wan Daud iaitu salah seorang pengasas Madrasah Muhammadiah di Kota Bharu telah menulis buku Siasah Perniagaan. Ia merupakan tulisan yang pertama dalam bidang perdagangan yang ditulis dalam bahasa Melayu.9

Isu kemelesetan ekonomi yang sedang dialami oleh kebanyakan negara di dunia pada masa itu juga telah mendorong para pejuang nasionalis Melayu untuk turut menekankan objektif perjuangan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu. Perjuangan pada peringkat ini juga banyak menggunakan akhbar sebagai medium dalam menyampaikan idea-idea semangat kebangsaan dan seruan ke arah kemajuan serta pembangunan. Antaranya ialah akhbar Idaran Zaman yang pada masa itu dipimpin oleh Muhammad Yunus Abdul Hamid, iaitu kawan rapat kepada Syed Syeikh Al-Hadi. Antara perkara yang sering menjadi pokok perbincangan dalam akhbar ini ialah mengenai sikap masyarakat Melayu yang dikatakan tidak mahu berusaha dan lambat berubah. Selain itu, penulis juga mengkritik sikap masyarakat Melayu pada masa itu yang tidak mahu merebut peluang-peluang yang ada di negara sendiri.


Golongan Menengah Melayu

MPSI yang telah ditubuhkan pada tahun 1922, merupakan institusi terulung atau  institusi induk dalam melahirkan pemikir-pemikir Melayu yang kemudiannya merupakan pelopor kepada gerakan kebangsaan tanah air. Tokoh-tokoh lepasan MPSI seperti Harun Amminurashid, Abdul Hadi Husin, Ibrahim Yaakub, Abdul Ghafar Baba, Senu Ab. Rahman, Syed Nasir, Pak Sako, Buyong Adil, dan ramai lagi pelatih-pelatih perguruan di maktab ini merupakan mereka yang mempunyai kesedaran yang cukup tinggi mengenai nasib dan masa depan bangsa dan tanah air.

Guru-guru dari MPSI telah mendapat banyak idea perjuangan daripada perkembangan semangat kebangsaan yang berlaku di Indonesia—sedang menentang penjajahan Belanda. Majalah-majalah dan buku-buku terbitan Indonesia menjadi bahan bacaan utama mereka. Perjuangan tokoh-tokoh pertubuhan Indonesia seperti Boedi Utomo, Sarekat Islam, Partai Komunis Indonesia, Muhammadiah, Partai Nasional Indonesia, dan lain-lain telah mempengaruhi pemikiran mereka. Perjuangan rakyat Indonesia dalam menentang kuasa penjajah telah memberikan ilham kepada mereka untuk bangkit menentang British di Tanah Melayu.

Bagi mengembeleng tenaga ke arah pembentukan semangat kebangsaan yang lebih menyeluruh dan mantap, tokoh-tokoh MPSI seperti Zainal Abidin Ahmad, Buyong Adil, Ibrahim Yaakub dan lain-lain lagi telah menubuhkan dua buah persatuan, iaitu

(i)                   Ikatan Pemuda Semenanjung (1929)
(ii)         Ikatan Semenanjung Borneo (1930)

Ikatan Semenanjung Borneo dan Ikatan Pemuda Pelajar ditubuhkan secara sulit dan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan politik Indonesia seperti Partai Nasional Indonesia yang dipimpin oleh Sukarno.

Walaupun MPSI pada masa itu berada di bawah pentadbiran pengetua O.T. Dussek, seorang pegawai British, tetapi beliau banyak memberikan dorongan kepada pelajar-pelajar mengenai kepentingan kemajuan dan pendidikan. Sehubungan dengan kesedaran dan rasa prihatinnya terhadap kemunduran bangsa Melayu pada masa itu. Beliau juga telah memberikan kelonggaran kepada guru-guru di maktab untuk mengembangkan idea-idea politik. Sehubungan itu semangat kebangsaan di kalangan pelatih-pelatih perguruan Melayu ini telah berkembang dengan pesatnya.

Sikap O.T. Dussek itu didorong oleh hubungan peribadi yang rapat beliau dengan guru-guru di maktab tersebut. Selain itu, beliau sangat berminat dan cenderung terhadap kebudayaan dan bahasa Melayu. Minat dan kecenderungan ini timbul sejak O.T. Dussek mula berkhidmat sebagai pegawai kolonial British di negara ini. Beliau juga sangat menyedari tentang kemunduran yang dialami oleh penduduk Melayu terutamanya dalam pendidikan. Faktor-faktor ini menyebabkan timbul simpati beliau terhadap cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh bangsa Melayu.
Namun begitu, perkembangan gerakan nasionalisme di MPSI tidak berkekalan apabila kerajaan British bertindak menempatkan tokoh-tokoh pendidik muda ke kawasan yang berlainan dan sukar untuk berhubung antara satu sama lain. Langkah ini merupakan antara strategi penjajah yang bimbangkan perkembangan semangat kebangsaan akan terus merebak di kalangan cerdik pandai Melayu itu dan seterusnya dapat mempengaruhi rakyat. Ini jelas apabila pada tahun 1927, Abdul Hadi Hasan telah ditukarkan ke Kelantan dan diberikan jawatan sebagai Nazir. Pada tahun 1936, O.T. Dussek telah dipencenkan dan kembali ke England, manakala pada tahun 1939, Harun Aminurrashid telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pelajaran Melayu dan ditugaskan ke Brunei.10


Tokoh-tokoh MPSI telah menggunakan media massa iaitu akhbar-akhbar seperti Warta Malaya dan Majlis untuk menyebarkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat. Pada tahun 1938, mereka telah menubuhkan sebuah parti politik Melayu yang pertama, iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang diasaskan oleh Ibrahim Yaakub. Oleh kerana parti ini merupakan parti yang agak kuat menentang penjajah dan enggan bekerjasama dengan Inggeris, ia dilabelkan sebagai radikal oleh kerajaan British dan dianggap sebagai parti berhaluan kiri. Antara agenda besar yang diperjuangkan oleh KMM ialah menuntut kemerdekaan dari Inggeris dan menubuhkan Kesatuan Malaya Raya, iaitu menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia.

Mereka terus mengadakan usaha-usaha bagi menguatkan lagi perpaduan dan mempertingkatkan kesedaran semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu. Pada bulan Ogos 1939, semua persatuan Melayu telah mengadakan Kongres Melayu di Kuala Lumpur Hasil daripada kongres ini telah melahirkan sebuah persatuan Melayu yang bersifat kebangsaan iaitu Persatuan Melayu SeMalaya. Ia merupakan langkah pertama dalam menyatukan semua orang Melayu.

Dalam masa dua tahun, KMM telah berkembang dengan begitu pesat dan banyak cawangannya ditubuhkan di seluruh Tanah Melayu. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan di pihak kerajaan British. Akibatnya, KMM telah diharamkan oleh pihak British pada tahun 1940. Selain itu, British juga mengesyaki bahawa ahli-ahli KMM telah bekerjasama dengan Jepun. Sehubungan itu juga pemimpin utama KMM seperti Ibrahim Yaakub dan 150 ahli KMM yang lain telah ditangkap dan KMM di labelkan sebagai parti radikal oleh pihak berkuasa British.

Selain MPSI, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang telah ditubuhkan pada tahun 1905 juga merupakan sebuah institusi pendidikan yang turut memainkan peranan besar dalam perkembangan semangat nasionalisme di Tanah Melayu. Maktab ini dibina khusus bagi menempatkan anak-anak pembesar-pembesar Melayu di negara ini bagi menerima pendidikan. Ia telah mengambil contoh  sebuah sekolah lelaki yang terkenal di England iaitu Sekolah Eton. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah sebagai sebuah pusat untuk memberikan latihan kepada anak-anak golongan bangsawan Melayu yang berjaya dalam pelajaran bagi mengisi jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran Inggeris. 

Selain melahirkan tenaga birokrat Melayu yang akan melaksanakan dasar-dasar British, MCKK juga merupakan simbol kebanggaan bagi mereka yang menuntut di sini. Sebagai sebuah institusi pengajian yang bersifat elit, ia telah menjadi tumpuan dan simbol status bagi pembesar-pembesar Melayu. Dalam masa yang sama maktab ini telah berkembang dengan baik dan telah mencapai hasrat pihak British dalam mendapatkan  tenaga pelapis Melayu bagi mengisi jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran Inggeris di negara ini. Sementara itu,  pihak penjajah Inggeris pula lebih cenderung untuk bekerjasama  dengan mereka yang di lihat oleh Inggeris sebagai mempunyai pendirian politik beraliran sederhana. Antara tokoh penting yang mendapat pendidikan di MCKK ialah Dato’ Onn Ja’afar, Raja Chulan Raja Abdullah dan Muhammad Eunos Abdullah. Kumpulan ini merupakan golongan yang menyokong British dan mempunyai arah pemikiran yang lebih terbuka dan di lihat oleh British sebagai lebih liberal, agak sederhana dan  boleh dibawa berunding.

Walaupun pergerakan mereka bersifat lebih pro kepada British, namun mereka turut mengemukakan banyak tuntutan terhadap kerajaan British mengenai beberapa perkara penting yang berkait dengan nasib dan masa depan masyarakat Melayu. Antara tuntutan mereka ialah menyarankan pihak Inggeris supaya mengambil lebih banyak langkah untuk memperbaiki taraf hidup orang Melayu, memberikan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada orang Melayu di dalam jabatan-jabatan kerajaan juga melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti termasuk ke Oxford dan Cambrigde. Selain itu, kumpulan cerdik pandai Melayu ini juga turut mengemukakan kritikan kepada pihak penjajah mengenai kemasukan masyarakat imigran secara berleluasa ke Tanah Melayu. Bantahan ini adalah didorong oleh kesedaran bahawa keadaan ini akan mengancam peluang-peluang yang sepatutnya dikecapi oleh orang Melayu. Kritikan-kritikan terhadap pihak berkuasa pada masa ini disalurkan melalui akhbar-akhbar seperti Warta Malaya.11

Pada tahun 1926, Kesatuan Melayu Singapura (KMS) iaitu sebuah pertubuhan yang agak bersifat politik telah ditubuhkan oleh Eunos Abdullah. KMS bertujuan membimbing  masyarakat Melayu Singapura untuk memajukan diri dalam lapangan politik, ekonomi, pendidikan, dan kemasyarakatan. Tahun-tahun berikutnya terutamanya dalam lingkungan 1930-an, memperlihatkan penubuhan beberapa parti politik Melayu yang bersifat kenegerian. Pada tahun 1935, Kesatuan Melayu Selangor yang diasaskan oleh Raja Sir Uda dan Tengku Ismail telah ditubuhkan. Negeri-negeri lain seperti Pahang, Perak, Negeri Sembilan, dan lain-lain masing-masing menubuhkan parti politik. Namun demikian, sifat parti-parti politik yang wujud pada masa ini masih kurang jelas dan lebih menunjukkan satu pertubuhan yang bersifat elit dari segi keanggotaannya dan tidak menyeluruh.

Sebuah pertubuhan yang bersifat kebangsaan yang julung-julung kalinya telah ditubuhkan ialah Persatuan Sahabat Pena. Pada tahun 1939, Persatuan Sahabat Pena telah menganjurkan satu kongres di Singapura bagi mengumpulkan seluruh tenaga politik Melayu. Beberapa persidangan susulan telah diadakan pada tahun-tahun yang berikutnya, namun cita-cita ke arah kewujudan satu kesatuan yang lebih mantap tidak berjaya dilaksanakan berikutan dengan serangan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1941. Perkembangan setakat ini menunjukkan bahawa nasionalisme yang diperjuangkan oleh golongan atasan Melayu lebih bersifat sederhana dan mendapat perhatian dan sokongan dari pihak penjajah berbanding dengan perjuangan yang dibawakan oleh kumpulan berhaluan kiri seperti KMM.

Pada keseluruhannya, perkembangan nasionalisme sebelum Perang Dunia Kedua memperlihatkan tiga aliran yang paling dominan, iaitu

1.                   Kumpulan yang berorientasikan gagasan pembaharuan Islam—dipelopori oleh kumpulan yang boleh dikelompokkan  sebagai kumpulan  elit agama.

2.                   Golongan menengah Melayu berlatarbelakangkan pendidikan Melayu—membawa pemikiran politik yang agak radikal.

3.                   Golongan atasan yang berpendidikan Inggeris—mempelopori gerakan politik yang berhaluan sederhana.

Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa semangat kebangsaan pada peringkat ini adalah bersifat Pan-Malayan. Ia adalah satu pertubuhan yang mampu melengkapi  orang-orang Melayu bagi  mengharungi dunia moden.


PERKEMBANGAN NASIONALISME DI ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN

Pendudukan Jepun selama lebih tiga tahun (1942-1945) telah meninggalkan banyak kesan ke atas kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Layanan berbeza-beza yang diberikan kepada kaum-kaum di negara ini telah melahirkan bentuk semangat nasionalisme yang berbeza di kalangan mereka. Bagi orang-orang Melayu, era pendudukan Jepun telah memberikan erti yang besar dalam perkembangan semangat kebangsaan. Dalam erti kata lain, pendudukan Jepun telah menyuburkan kesedaran orang Melayu dalam perkara ini. Faktor utama yang mendorong kepada perkembangan ini  ialah langkah Jepun yang telah memberikan peluang kepada anak-anak Melayu menceburi dalam bidang pentadbiran telah memberikan keyakinan kepada mereka mengenai keupayaan untuk mentadbir tanah air sendiri. Peluang-peluang ini merupakan perkara yang tidak mereka perolehi semasa pemerintahan Inggeris dahulu.12

Di samping itu juga, kemenangan Jepun dalam Perang Pasifik telah menjatuhkan imej British sebagai sebuah kuasa besar dan empayar Barat di rantau ini. Perkara ini menjadi satu propoganda yang begitu hebat dalam meniupkan semangat kebangsaan di kalangan rakyat pada ketika itu.

Berikutan dengan pendudukan Jepun, ahli-ahli KMM yang telah ditahan oleh British  telah dibebaskan. KMM berperanan besar dalam membantu Jepun bagi mendapatkan maklumat mengenai Tanah Melayu sebelum kemasukan mereka ke negara ini. Ibrahim Yaakub kemudiannya telah dilantik sebagai ketua KMM dan diberikan jawatan penting dalam pentadbiran.

Konsep Melayu Raya iaitu cuba menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia yang diperjuangkan oleh KMM juga telah menimbulkan kebimbangan pihak Jepun. Memandangkan kepada tuntutan pengabungan dan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Indonesia begitu kuat dan mengetahui hubungan KMM dengan Malayan People Anti-Japanase Army (MPAJA), Jepun telah bertindak mengharamkan KMM. Tindakan ini sangat mengecewakan pejuang-pejuang Melayu yang selama ini kagum dan menyokong Jepun. Ia juga sebenarnya telah menampakkan niat Jepun yang sebenarnya bahawa mereka  tidak jujur terhadap orang-orang Melayu yang menyokong mereka selama ini. Pejuang Melayu pada masa itu juga mula sedar bahawa mereka tersilap langkah kerana penyokong Jepun.

Perkembangan semangat kebangsaan kaum Cina dan India sebelum perang lebih banyak tertumpu kepada suasana politik di tanah asal mereka. Bagi masyarakat Cina, perkembangan faham komunis di negara China telah turut mencorakkan arah semangat kebangsaan mereka di negara ini. Namun demikian, pada peringkat awal mereka kurang berminat untuk bergiat cergas dalam perkembangan politik tempatan ketika itu kerana  motif utama penghijrahan mereka ke negara ini ialah atas kepentingan ekonomi. Selain itu, kumpulan imigran ini tidak bercadang untuk menetap di Tanah Melayu.

Namun demikian, perkembangan politik masyarakat Cina memperlihatkan minat mereka terhadap faham komunis semakin meluas. Fenomena ini disebabkan oleh hubungan yang kuat di antara mereka dengan negara asal mereka iaitu China. Ini telah mendatang kesulitan kepada pentadbiran British apabila mereka enggan patuh kepada institusi tempatan dengan menubuhkan kongsi-kongsi gelap dan parti-parti politik seperti Kuomintang dan Parti Komunis yang sealiran dengan perkembangan politik di China sendiri.

Tokoh yang memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam menapakkan kegiatan komunis di Tanah melayu ialah Alimin, iaitu seorang pemimpin komunis Indonesia. Beliau telah singgah di Singapura dalam perjalanannya ke Canton bagi menghadiri Persidangan Buruh Seluruh Pasifik pada tahun 1924.13 Beberapa tahun selepas dari peristiwa ini pergerakan komunis telah berjaya melatih penduduk tempatan  sebagai kader-kader komunis.

Fahaman komunis di Tanah Melayu telah terbentuk hasil daripada pengaruh secara langsung dari Parti Komunis China (Communist Party of China – CPC) dan mendapat arahan dari Biro Komunis Antarabangsa Bagi Timur Jauh (Comintern). Fahaman komunis di Tanah Melayu bergerak selari dengan  Parti Komunis China. Ia bermula sejak tahun 1923 dan disebarkan di sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu.  Mulai tahun 1926, usaha-usaha untuk menyusun organisasi komunis telah dijalankan oleh masyarakat Cina di Tanah Melayu. Peranan ini dimainkan oleh Main School (Sekolah Utama) yang ditubuhkan di sekitar tahun-tahun 1926 hingga 1927—merupakan badan eksekutif terpenting dalam perkembangan  ideologi  komunis di Tanah Melayu.

Sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina terhadap ideologi komunis antara lain menunjukkan  semangat kenegerian mereka terhadap negara asal iaitu China. Pada bulan Mac 1930, Parti Komunis Malaya telah ditubuhkan hasil gabungan daripada dua pertubuhan Cina yang terkenal di Tanah Melayu,  iaitu Parti Komunis Nanyang dan Kesatuan Sekerja Nanyang (Nanyang General Labour Union). Sehubungan itu, perkembangan  parti komunis di Tanah Melayu telah dikendalikan secara langsung oleh  Comintern dan bukan lagi oleh China.14

Sokongan yang kuat yang diberikan oleh masyarakat Cina terhadap PKM ialah kerana  didorong oleh rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan pada masa itu. Dalam soal ini juga masyarakat Cina sering beranggapan bahawa mereka perlu mendapat peluang lebih daripada apa yang mereka telah perolehi. Oleh yang demikian, mereka mengharapkan akan mendapat lebih keutamaan sekiranya PKM memerintah negara ini.

Bagi memperkemaskan lagi  jentera organisasi,  pada 30 April 1930, Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan. Antara cita-cita besar PKM ialah menegakkan sebuah Kerajaan Republik Soviet Malaya hasil koordinasi proletar dan petani. PKM kemudiannya telah melancarkan pemberontakan bersenjata  berikutan dengan  penolakan British terhadap Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh barisan parti politik kiri yang diwakili oleh All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang di dalangi oleh PKM.

Peristiwa Darurat 1948 merupakan titik tolak penting dalam perkembangan politik masyarakat Cina di Tanah Melayu. Peristiwa itu dan perkembangan ideologi komunis di Tanah Melayu berkait secara langsung dengan soal perkauman. Bagi mengatasi masalah ini,  Jawatan Kuasa Perhubungan Kaum telah ditubuhkan. Bagi mengalihkan tumpuan dan sokongan masyarakat Cina terhadap PKM yang disifatkan sebagai parti orang Cina, British telah menggalakkan pemimpin-pemimpin Cina menubuhkan parti politik Cina yang sah. Pada bulan Februari 1949, Malayan Chinese Association (MCA) telah ditubuhkan dan diketuai oleh Tan Cheng Lock. MCA merupakan sebuah parti alternatif bagi orang Cina bagi mengurangkan sokongan masyarakat ini terhadap PKM. Manakala bagi pihak orang Cina pula, ia satu saluran bagi mengemukakan tuntutan dan kepentingan mereka terhadap British.           

Bagi masyarakat India pula, pola perkembangan semangat nasionalisme mereka juga mirip kepada perkembangan semangat nasionalisme orang-orang Cina, iaitu mengikut arus dan pergerakan politik di negara asal mereka iaitu India. Gerakan-gerakan dan perjuangan menuntut kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin mereka seperti Mahatma Ghandhi telah banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat India di Tanah Melayu terutamanya mereka yang agak berpelajaran.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu mereka telah menubuhkan Indian National Army (INA) hasil daripada pakatan  dan kerjasama Jepun dengan Subhas Chandra Bose. Pihak Jepun juga telah membenarkan Tanah Melayu dijadikan pusat gerakan bagi INA.15 Kerjasama ini lebih berupa sokongan kuat Jepun terhadap rakyat India untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan British. Sehubungan dengan itu, pihak Jepun telah mengeksploitasi dan memperalatkan  pemimpin-pemimpin India untuk bekerjasama dengan mereka. Subhas Chandra Bose iaitu pemimpin kaum India di Tanah Melayu telah melaungkan slogan kebebasan untuk semua terutama kepada buruh-buruh yang tertindas dan menekankan bahawa tujuan utama gerakan INA adalah untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Beliau mencadangkan pemakaian cogankata “Chalo Delhi” (Pergi ke Delhi) untuk menaikkan semangat nasionalisme di kalangan buruh India. Bagi mencapai matlamat perjuangan, INA dengan kerjasama Indian Independence Leagua telah membentuk kerajaan sementara. Di samping itu, sukarelawan INA telah mencapai jumlah 16,000 orang. Beberapa usaha lain juga diadakan seperti penubuhan pasukan tentera wanita India  iaitu The Rani of Jhenshi.16

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, kaum India terus memperjuangkan kepentingan politik mereka  selari dengan perkembangan politik di India yang sedang menuntut kemerdekaan dari British. Perjuangan mereka di Tanah Melayu antara lain bermatlamatkan kemenangan bagi perjuangan kebangsaan di India dan menjaga kepentingan masyarakat India di Tanah Melayu. Di samping itu, mereka juga turut bersama-sama memperjuangkan kepentingan politik dengan kaum-kaum lain di negara ini. Bagi memantapkan lagi perjuangan mereka serta sokongan dan dorongan daripada pemimpin-pemimpin di India sendiri, pada bulan Ogos 1949, Kongres India Tanah Melayu atau Malayan Indian Congress (MIC) telah ditubuhkan. John A. Thivy  telah dilantik sebagai Yang Dipertua Kongres yang pertama.


PENUBUHAN PARTI PERTUBUHAN MELAYU BERSATU (UMNO)

Berbalik kepada perkembangan semangat nasionalisme orang Melayu, aspirasi untuk mencapai kemerdekaan terus bersemarak apabila British kembali memerintah Tanah Melayu apabila tamat Perang Dunia Kedua. Penyatuan seluruh orang Melayu dalam semangat kebangsaan buat pertama kalinya telah terbentuk berikutan dengan langkah British mengemukakan cadangan Malayan Union pada tahun 1945.

Walaupun orang Melayu menentang Malayan Union sejak dari awal lagi namun, pada peringkat permulaannya usaha mereka tidak begitu padu. Sehubungan itu beberapa pandangan telah dikemukakan dalam akhbar-akhbar supaya masyarakat Melayu bergabung tenaga agar penentangan tersebut lebih berkesan. Pada 1 Mac 1946, satu persidangan bagi pertubuhan Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini  dihadiri oleh semua persatuan di tanah air termasuklah Persatuan Orang Asli. Wakil-wakil persatuan ke persidangan ini akhirnya bersetuju menggabungkan semua persatuan ke dalam satu badan induk yang dinamakan sebagai Kongres Melayu Se-Malaya yang dipengerusikan oleh Dato’ Onn bin Jaafar. Kongres ini juga telah mengambil kata putus untuk menubuhkan sebuah parti politik Melayu. Pada 11 Mei 1946, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau ringkasnya PEKEMBAR telah ditubuhkan. Ia dikenali sebagai UMNO iaitu ringkasan daripada terjemahan pertubuhan tersebut dalam bahasa Inggeris—United Malays National Organisation.17


KESIMPULAN


Secara keseluruhannya, semangat nasionalisme di Tanah Melayu agak perlahan berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Ini kerana keadaan penduduk di negara ini yang pelbagai bangsa, agama, dan adat resam. Faktor tersebut telah menyebabkan proses pembentukan dan penyatuan kesedaran politik lambat berlaku. Dinamika nasionalisme di negara kita bergerak ke arah yang lebih mantap dan tersusun berikutan dengan wujudnya badan politik seperti KMM yang mempunyai jaringan yang agak kuat dengan pergerakan nasionalisme luar negeri. Walaupun KMM telah mendapat sokongan  yang agak besar daripada kalangan cerdik pandai Melayu, namun parti ini tidak mampu bertahan lama akibat tekanan yang diberikan oleh pihak berkuasa British. Perkembangan nasionalisma di negara kita memperlihatkan UMNO telah berjaya menyatukan orang Melayu dan terus kekal berpanjangan  hasil daripada bentuk perjuangan mereka yang lebih sederhana dan sedia bekerjasama dengan Inggeris dan parti-parti bukan Melayu. Secara umum, dapat disimpulkan bahawa nasionalisme merupakan satu proses yang perlu dilalui oleh setiap bangsa dalam usaha untuk membentuk dan memperkukuhkan identiti mereka sebagai sebuah negara dan bangsa yang bebas merdeka. Perkara ini perlu dihayati untuk membolehkan kita menghargai segala pergorbanan generasi terdahulu. Kita kini mungkin telah bahagia tetapi kita sering lupa bagai manakah segala kebahagiaan yang kita nikmati hari ini bermula.

SEJARAH KEMASUKAN ISLAM KE BORNEO

SEJARAH KEMASUKAN ISLAM KE BORNEO
 Sebelum orang Barat mengenali Pulau Borneo (Kalimantan) pada abad ke-16, kerajaan Brunei telah lama wujud dan keseluruhan wilayah Kalimantan diletakan di bawah pemerintahannya. Perkataan ‘Borneo’ diambil daripada ejaan Barat bagi perkataan ‘Brunei’. Sarawak merupakan salah satu daripada kawasan jajahan Brunei di Kalimantan. Brunei pada pertengahan abad ke-16 dikenali sebagai sebuah pusat perdagangan bebas yang terkenal di kepulauan Melayu sebelum kewujudan Melaka. Tradisi sejarah Brunei asalnya adalah merujuk kepada kerajaan Johor atau kesultanan Riau-Johor yang telah memainkan peranan penting dalam mengislamkan Brunei sebelum menerima pengaruh Portugis pada tahun 1511, menakluki Melaka.

            Sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak, kawasan dan bentuk topografinya tidak mendapat perhatian daripada para pengembara Barat. Hanya pada tahun 1530, seorang pengembara portugis, Gonsavo Periera telah menyebutkan tentang sebuah tempat yang diberi nama ‘Cerava’ yang sangat penting sebagai pelabuhan dan menjadi kediaman utama kepada pedagang-pedagang kaya. Justeru, Santubong yang terletak di muara sungai Sarawak telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang menjalinkan hubungan perdagangan dua hala dengan India dan China lewat abad ke-7 Masihi. Terdapat sesetengah sarjana yang percaya bahawa hubungan ini bermula sejak awal abad ke-7. Eksport utama dari Santubong adalah emas, lantas pada abad ke-10 dan ke-11, kedudukan Santubong sebagai pelabuhan semakin berkembang maju dan negeri-negeri di sekelilingnya menjadikan Santubong sebagai pelabuhan untuk menyalurkan barangan dagangan masing-masing.[i]

            Walaupun, masih kekurangan maklumat tentang sejarah Sarawak sebelum abad ke-19, perbincangan mengenai sejarah awal kedatangan orang Melayu adalah berteraskan kepada teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana, penemuan arkeologi dan tumpuan terhadap kesultanan Brunei kerana Sarawak merupakan tanah jajahan Brunei. Begitu juga soal mengenai kemasukan Islam ke Sarawak. Teori-teori yang dikemukakan para sarjana menjadi asas perbincangan iaitu bilakah Brunei memeluk agama Islam maka, akan dapat ditentukan tempoh masa Islam mula bertapak di Sarawak.

            Dari perspektif arkeologi, para ahli arkeologi telah membuat galicari di beberapa buah tapak di kawasan nusantara. Di antara tapak galicari yang menjadi tumpuan arkeologis termasuklah Gua Niah, Sarawak. Melalui ujian karbon yang digunakan, dapat mengesan usia dan umur sesuatu benda telah dijalankan ke atas kerangka-kerangka purba yang ditemui di Gua Niah. Berdasarkan keputusan ujian itu, para ahli arkeologi telah merumuskan bahawa orang Melayu telah mendiami kawasan itu sejak 30,000 tahun dahulu iaitu sejak zaman mesolitik lagi[ii]. Penemuan ini telah membuktikan bahawa Gua Niah yang terletak di Daerah Subis, merupakan tempat pertama didiami oleh orang Melayu dan faktor penarikan awal kedatangan orang Melayu di Sarawak. Bukti-bukti yang berusia lebih kurang 40,000 tahun ini menunjukkan bahawa sudah ada penempatan awal manusia sejak sekian lama.

            Teori Melayu Proto berasal dari Yunnan disokong oleh R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Melayu Proto (Melayu asli) yang pertama sekali datang mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian sementara golongan kedua, Melayu Deutro yang tiba sekitar tahun 1500 S.M dan mendiami pesisir pantai mempunyai kemahiran menangkap ikan yang tinggi. Semasa berlakunya migrasi itu, kedua-dua golongan berkahwin dengan masyarakat-masyarakat dari pulau-pulau selatan seperti Jawa, serta penduduk tempatan yang berasal dari keturunan Australasia dan Negrito. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa pihak yang tidak mempersetujui teori ini. Antara bukti-bukti lain yang menyokong teori ini termasuklah alatan-alatan batu yang dijumpai di Kepulauan Melayu sama dengan alatan-alatan dari Asia Tengah. Persamaan adat resam Melayu dan Assam. Bahasa Melayu dan bahasa Kemboja adalah serumpun kerana tempat asal orang-orang Kemboja berasal dari sumber Sungai Mekong[iii].

            Menurut Heine-Geildern, orang Melayu datang dari daerah Asia Tengah atau Yunan. Mereka telah turun dalam bentuk penghijrahan atau dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia merentasi banjaran gunung dan jambatan tanah ke daerah nusantara kira-kira pada 5000 tahun sebelum masihi[iv]. Gelombang pertama kedatangan orang Melayu iaitu ‘Melayu Proto’ yang dikenali sebagai golongan pendatang pertama yang tinggal di dalam gua-gua, gunung ganang, pendalaman atau daratan. Melayu pertama ini merupakan orang asli yang masih terdapat di negara kita pada masa kini seperti kaum Semai, Temuan dan Jakun. Manakala, menurut beliau lagi, pendatang yang kedua dikenali sebagai ‘Melayu Deutro’ yang tinggal di kawasan pesisir. Gelombang kedua ini mempunyai ketamadunan dan kebudayaan yang lebih tinggi. Golongan ini merupakan orang Melayu moden masa kini.

            Seorang lagi ahli arkeologi Barat iaitu Peter Bellwood yang bersetuju tentang kedatangan awal dan arah penghijrahan orang Melayu dari Asia Tengah ke kawasan-kawasan yang kemudiannya menjadi wilayah budaya Melayu. Beliau berpendapat bahawa penghijrahan yang berlaku secara beberapa gelombang manusia yang berlaku pada 5000, 3000 dan 1500 tahun sebelum masihi[v]. Penghijrahan pertama telah membawa gelombang pertama ke arah Taiwan. Ketamadunan orang Melayu yang berhijrah ke Taiwan mulai meningkat dengan peredaran masa dan zaman. Mereka telah mempunyai kemajuan dalam bidang pembinaan kenderaan-kenderaan laut. Lantaran itu, keadaan ini telah membawa mereka untuk berhijrah dari sebelah timur ke sebelah selatan dengan berdayung ke kepulauan Filipina. Ada di kalangan mereka yang tersasar ke daerah Kepulauan Pasifik dan Kepulauan Jawa. Namun, penghijrahan kemudiannya telah membawa orang Melayu ke Kepulauan Borneo serta ke sebelah utara tanah Melayu.

            Teori penyebaran agama Islam di gugusan kepulauan Melayu mengutamakan perdagangan sebagai faktor penting dalam proses asimilisasi negara-negara di Asia Tenggara. Walaupun, para sarjana pada umumnya berpendapat bahawa pedagang-pedagang Arab yang mula-mula sekali membawa Islam ke kawasan Timur sekaligus mengukuhkan lagi bukti bahawa proses penyebaran agama Islam selanjutnya yang memainkan peranan utama adalah pedagang-pedagang peribumi sendiri. Dua pelabuhan di gugusan Kepulauan Melayu yang terkemuka dari abad ke-15 hingga ke-17 ialah Melaka dan Acheh. Hubungan kedua-dua pelabuhan adalah sangat erat dengan Kalimantan. Di Kalimantan, pelabuhan yang utama iaitu Brunei. Namun, hubungan perdagangan awal telah pun wujud antara China dan Kepulauan Melayu. Kehadiran pedagang-pedagang Cina di Brunei (disebut sebagai Po-ni atau Bo-ni) pada zaman sung (T.M. 960-1279) terbukti kerana terjumpa batu nisan di Rangas, Bandar Seri Begawan[vi].

            Kalimantan juga terdedah kepada pengaruh dari tempat-tempat lain seperti Sulu dan Jawa. Kedua-dua tempat ini telah menerima pengaruh Islam pada abad ke-15. Tetapi, memandangkan terdapatnya pedagang Cina yang datang ke Nanyang yang beragama islam dan kedatangan rombongan Cina pada zaman Maharaja Yung Lo yang dipimpin oleh Laksamana Cheng Ho[vii]. Beliau yang sudah sinonim dalam sejarah ketamadunan Melayu yang merupakan seorang Islam telah banyak memberikan kesan terhadap negara-negara di kepulauan Melayu. Kedaan ini telah memperlihatkan betapa China memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam di rantau nusantara sehingga ke Kepulauan Borneo khususnya Sarawak.

            Proses pengislaman di Kepulauan Borneo lebih tepat lagi Sarawak sememangnya kompleks. Sarawak pada ketika itu di bawah pengaruh kesultanan Brunei. Ruang lingkup perbicaraan dilihat pada bilakah pemerintah Brunei mula-mula memeluk agama islam. Mengikut tradisi Kesultanan Brunei diasaskan pada kitab yang dikenali sebagai Salasilah atau Tarsilah. Seperti Sejarah Melayu terdapat beberapa versi kitab itu. Menurut tradisi Brunei, pemerintah pertama yang memeluk agama Islam bernama Awang Alak Betatar. Dengan itu baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad. Baginda memeluk agama Islam selepas lawatannya ke Johor dan perkahwinannya dengan Puteri Johor.

            Sama seperti teks-teks Melayu Klasik di Tanah Melayu, Tarsilah tidak mempunyai tarikh yang tepat. Terdapat sesetengah sarjana yang mengatakan pemerintahan Sultan Muhammad dikatakan bermula pada awal abad ke-15. Walaubagaimanapun, tarikh ini sukar untuk diterima kerana kerajaan Johor pada masa itu belum lagi wujud. Hal ini telah menimbulkan persoalan dan mungkin bukan Johor yang mengislamkan Awang Alak Betatar. Berdasarkan maklumat Ming Shi Lu (Rekod Wangsa Ming), pemerintah Melaka sendiri yang memeluk agama Islam lebih kurang pada tahun 1414 yang merupakan tempoh Megat Iskandar berada di China yang sudah diketahui pada ketika itu pemerintah Melaka yang melawat China memakai gelaran Parameswara atau Permaisura[viii].

            Dalam sebuah kajian mengenai kesultanan Brunei hasil penulisan W.P.Groeneveldt dalam bukunya Notes on The Malay Archipelago and Malacca Compiled From Chinese, Batavia, 1876, dapat memberikan tarikh yang sama iaitu 1371 apabila Sultan Muhammad Shah menghantar utusan ke China. Menurut sumber berkenaan, yang menjadi mubaligh Islam ke Brunei pada zaman Awang Alak Betatar iaitu Syarif Ali telah datang ke Brunei sebelum T.M 1375[ix].

            Seorang sejarawan Barat, Tom Harrison turut berpendapat bahawa tarikh kedatangan Islam ke Kalimantan Barat dan Utara yang tidak jauh berbeza dengan rekod Ming. Kajian beliau  adalah berdasarkan kepada tiga jenis bahan; pertama, sebuah buku Teks Idahan dari Sabah; kedua, Tarsilah Brunei dan ketiga; Tusut atau salasilah kaum Iban. Teks Idahan merupakan suatu salasilah yang tetumpu kepada Abdullah, dikatakan orang pertama yang memeluk agama Islam, pada tahun T.M 1408. Manakala, dalam Tarsilah Brunei pula, Harrison berpendapat bahawa pemerintahan Brunei telah memeluk agama Islam pada tahun T.M. 1350. Tusut kaum Iban menurut beliau pula bermula dengan Merom Pangai yang mengikut kepercayaan orang Iban yang berasal dari bahagian barat Sarawak. Bermula daripada Merom Panggai dalam Tusut, digalurkan keturunannya sehingga 27 generasi. Keturunan generasi ketiga Merom Panggai bernama Abang Musa yang telah bermastatutin di Sumatera dan menjalankan kegiatan perdagangan sehingga ke Brunei[x]. Hal ini telah membuktikan bahawa Abang Musa hidup di sekitar 1380 Masihi tarikh yang telah dikenal pasti oleh Harisson sebagai ‘The First significant Muslim Impacts on Brunei’ berasaskan Teks Idahan dan Tarsilah Brunei.

            Harisson sendiri masih tidak berpuas hati dengan kesimpulan yang telah diberikan olehnya. Seharusnya, dibezakan di antara penemuan, kesan dan pengislaman orang Melayu keseluruhannya yang terus dipolemikan oleh para sarjana. Sebagaimana yang disedari oleh Tom Harrison, ketibaan Islam dan pengislaman masyarakat perlu dibezakan. Dalam konteks Sarawak jelas memberikan gambaran bahawa senario asimilisasi di sekitar kesultanan Brunei tidak memberikan makna bahawa gambaran yang begitu jelas tentang senario yang berlaku di Sarawak khususnya.

            Teori kedatangan Islam ke Sarawak diperkukuhkan lagi menurut Low iaitu seorang sejarawan Barat yang mengatakan bahawa terdapat bukti daripada tradisi penduduk Kalimantan serta kitab-kitab Jawa bahawa penduduk Jawa adalah pendatang yang paling awal menetap di kawasan selatan dan barat Pulau Kalimantan sehingga sampai ke sebelah utara iaitu Sarawak. Pada ketika itu, Jawa dikuasai oleh kerajaan Majapahit. Setelah kejatuhan kerajaan majapahit pada penghujung abad ke-15, Islam telah muncul sebagai agama yang dominan di Pulau Jawa. Justeru, beliau telah menyimpulkan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada penduduk Jawa yang datang ke Kalimantan bermula pada abad ke-16 terdiri daripada orang Islam.

            Berdasarkan teori yang dijelaskan, orang Melayu beragama islam yang paling awal datang ke Sarawak terdiri daripada penduduk dari Sumatera dan Semenanjung. Hal yang demikian mungkin disebabkan tradisi Sarawak yang merujuk kepada kerajaan Johor sebagai punca kedatangan Islam di samping,  kewibawaan kedudukan Datu Merpati. Dalam perihal ini, perlu diperhatikan bahawa keturunan penghijrahan yang awal datang adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemerhati Barat pada abad ke-19, biasa dikenali sebagai ‘orang Melayu’ yang sememangnya mereka adalah beragama Islam.

            Soal pokok yang masih belum dikenalpasti adalah bila Islam mula bertapak di bumi Sarawak. Harus dipertimbangkan dari perspektif pengaruh Brunei ke atas Sarawak sebelum tahun 1317. Kedatangan orang Melayu dari Sumatera, mempunyai kebarangkalian yang lebih tepat kerana tempoh kedatangan yang lebih awal berasaskan pengetahuan mutakhir iaitu Sumatera lebih dahulu menerima Islam daripada Brunei atau Melaka.


            Melalui pembicaraan tentang teori awal kedatangan orang Melayu ke Sarawak dapat diperlihatkan tentang ketertinggian tamadun yang dimiliki oleh orang Melayu sejak Zaman pertengahan lagi. Ketamadunan awal ini menjadi asas kepada pembentukan dan perkembangan pelbagai proses dalam kehidupan masyarakat Melayu. Tahap yang seterusnya iaitu setelah orang Melayu menerima pengaruh Islam menunjukan bahawa mereka telah mengalami satu pencapaian yang sangat membanggakan. Justeru, generasi ‘muda’ Melayu era kini seharusnya tidak melupakan asal usul mereka demi memartabatkan ketuanan orang Melayu di tanah air sendiri.

APLIKASI HUKUM KANUN MELAKA DAN KESANNYA KEPADA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA

APLIKASI HUKUM KANUN MELAKA DAN KESANNYA KEPADA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA
KESAN HUKUM KANUN MELAKA KEPADA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA
- Perundangan

Kedatangcm agarna Islam telah mempengaruhi sistem perundangan di Alam Melayu.
Sistem perundangan tempatan turut mengalami perubahan seperti yang tercatat dalam
Hukum Kilnun Melaka, Adat Pepatih dan Adat Temengung. Undang-undang adat yang
tidak bertentangan dengan ajaran Agama Islam dikekalkan. Contohnya hakim boleh
mengunakan budi bicaranya sarna ada menjatuhkan hukuman potong tangan bagi
kesalahan mencuri ataupun didenda dan dipenjara sahaja.
Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara sistem perundangan
masyarakat Melayu juga berubah kepada sistem adat dan Islam. Contohnya Melaka
mempunyai Hukum Kanun Melaka yang meliputi tanah, sungai, dusun dan setiap tanah
jajahan takluk Melaka. Undang-undang Laut Melaka meliputi perusahan perkapalan,
perdagangan di laut dan di darat dan kegiatan yang berkaitan denganya. Kedua-dua
kumpulan undang-undang ini adalah didasarkan kepada hukum syariah dan juga hukum
adat yang telah wujud sejak dahulu lagi (Zainal Abidin Abdul Wahid, 192 : 29).
Tradisi pemerintahan berdasarkan perundangan Islam dilanjutkan dalam pemerintahan
Malaysia hari ini. Perlembagan Malaysia menjadikan urusan Islam sebagai urusan
negeri. Bidang kuasa tersebut sangat terbatas dan dinyatakan secara terperinci satu
persatu. Manakala di peringkat negeri terdapat beberapa undang-undang yang telah
dikuatkuasakan seperti undang-undang pentadbiran Islam, undang-undang mahkamah29
syariah, undang-undang pentadbiran keluarga Islam, undang-undang prosedur dan
keterangan, undang-undang sivil, jenayah Islam dan lain-lain lagi.
Oleh kerana Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang induk yang meliputi undang- undang lain di dalam negeri-negeri Melayu, amatlah tepat jika ianya dijadikan contoh
tentang wujudnya pengaruh Islam dalam perundangan. Menurut beberapa orang
sarjana barat seperti Wiliam R. Rof dan Alfred P. Rubin, Hukum Kanun Melaka atau
Undang-Undang Melaka pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping
berpegang kepada hukum akal dan hukum adat. Pendapat-pendapat tersebut adalah
sejajar dengan perkatan-perkatan yang terdapat di dalam undang-undang tersebut
antaranya menyebut, ".Mengikut hukum Alah, pada hukum Alah, menurut dali al- Quran dan menurut amr bi al-ma'ruf wa nahyi'ani al-munkar". Terdapat juga undang- undang yang berhubung dengan jenayah, muamalah, kekeluargan, keterangan dan
acara yang berpandukan undang-undang Islam


HUKUM KANUN MELAKA

PENDAHULUAN :

Pembukaan Melaka :
Dibuka oleh Parameswara pada tahun 1402
Berkembang menjadi Bandar Pelabuhan Antarabangsa pada abad ke15.
Pada tahun 1414 Parameswara memeluk Islam dan agama Islam mula tersebar .
 Latarbelakang Hukum Kanun Melaka (HKM) :
Disusun dengan lengkap oleh Sidi Ahmad.
Terbahagi kepada dua iaitu Hukum Kanun Melaka ( Undang-undang Negeri) dan  Undang-undang Laut Melaka.
Terdapat pengaruh Islam dan Hindu.
Isi kandungannya meliputi undang-undang Jenayah, Muamalah, Kekeluargaan,   keteranagan dan Acara.
Isi :

Undang-undang Islam dalam Hukum Kanun Melaka
Undang-undang Jenayah- terbahagi kpd 3 bahagian.
Hukum Qisas Dinyatakan sesispa yg mengambil nyawa (membunuh) orang akan dibalas bunuh.Orang Islam yg membunuh orng kafir tak dikenekan qisas. Dalam soal mencederakan anggota juga akan dibalas perbuatan yg sama dan setimpal. Hala ini selari dengan surah al-Maidah ayat 45. Hukum Diat  Fasal 17 HKM menyatakan pembunuh dengan sengaja jika diberi maaf oleh waris akan dikenakan Diat(denda) Hal ini selari dengan mazhab Shafiee.Hukum Hudud berhubung dengan kesalahan zina,Qazaf,Mencuri, Minum arak dan Murtad. Sbgai cth kesalahan zina akan direjam sampi mati bagi yg tlh berkahwin dan disebat 100 x bagi yg belum berkahwin. Hal ini selari dengan surah anNur ayat 2 dan juga Hadith. Bagi kesalahan Qazaf akan disebat 80x sebatan.Bagi kesalahan minum arak akan disebat 40x sebatan.Hukum Ta’zir bagi kesalahan yg tidak dikenakan hudud dan qisas sprit mencuri tak cukup nisab akan dikenakan ta’zir. Cth akan diminta pulang smula barang yg dicuri atau digantung dileher dan di arak keliling kampong sebagai pengjaran.
Undang-undang Muamalah,
Ini berhubung dengan jual beli, riba, sewa, pinjam meminjam ada dinyatakan dalam fasal 30HKM. Cth disebut dengan nyata haramnya riba, tidak blh berniaga dengan orng gila.
Undang-undang Keluarga
Ini berhubung dengan perkahwinan,perceraian,wali talah dan sebagainya.Dlm hal ini semuanya selari dengan hukum Islam.
Undang-undang Keterangan dan Acara
Hal ini adalah berkaitan dengan syarat-syarat menjadi Sultan seperit mesti Islam, adil, pengampun,pemurah dan sebagainy. Disini dinyatakan juga hakim/ kadi dilarang menerima hadiah.
Penglibatan Ulamak dlm soal pentadbiran negeri disebut dengan nyata. Ulamak dan Kadi terlibat aktif dalam soal pertabalan, perkahwianan pemakaman seseorang raja/sultan. Meskipun pengaruh Islam amat ketara dalam hokum Kanun Melaka, masih terdapat banyak pengaruh Hindu dan adat Melayu yang bertentangan dengan Islam seperti perkara di bawah.
Undang-undang yg Tidak Selari Dengan Islam :
Sultan berada di atas undang-undang  ( Konsep Devaraja)
Hukuman qisas tidak dikenakan kepada sultan/ kerabat raja contohnya  Raja Muhammad telah membunuh Tun Besar, hukuman dibuang negeri.
Hukuman hudud tidak dikenakan kepada sultan contoh  Sultan Mahmud telah berzina dengan isteri orang.
Mengamalkan Diskriminasi Dalam Undang-undang :
Tidak amalkan persamaan taraf,  ini kerana ada larangan memakai warna kuning, bina rumah seperti
Konsep Daulat dan Tulah :
Amalkan konsep pantang derhaka kepada raja/sultan walaupun memerintah dengan zalim.
Pengaruh adat Temenggung :
Mengikut Yusuf Hashim hanya 41% sahaja Hukum Kanun Melaka yang mempunyai Islam dan selebihnya pengaruh daripada Adat Temenggung.
Kesimpulan :
Walaupun HKM   diamalkan dengan meluas di Melaka dan menjadikan Islam sebagai  rujukan namun masih ada ruang yang bertentyangan dengan syarak.

Tuesday 9 September 2014

KEPRIHATINAN MALAYSIA TERHADAP PENCEMARAN ALAM MASA KINI

KEPRIHATINAN MALAYSIA TERHADAP PENCEMARAN ALAM MASA KINI

Antara keprihatinan malaysia terhadap alam sekitar ialah:

  • PENCEMARAN AIR
  1. kerajaan malaysia telah menguatkuasakan undang-undang 
  2. pesalah akan mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahannya
  3. malaysia juga memastikan media massa dan media elektronik memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan sungai.

  • PENCEMARAN UDARA
  1. Malaysia telah mengurangkan penggunaan dan penjualan minyak berplumbum
  2. melakukan kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan 

  • PENCEMARAN DARAT
  1. Malaysia telah mengehadkan pembalakan dengan mewujudkan kuota pembalakan 
  2. menanam semula pokok sebagai langkah pemeliharaan semula hutan bagi tujuan pembalakan di masa hadapan
  3. mewujudkan tabung penanaman semula hutan
  4. mengehadkan eksport kayu balak mentah


  • PENCEMARAN BUNYI
  1. Malaysia telah mengadakan kempen bagi mengurangkan masalah pencemaran bunyi
  2. membuat proses pengukuran bunyi sebelum melakukan sesuatu pembangunan dan pembinaan



contoh-contoh pencemaran alam..