Sunday 3 August 2014

TOKOH-TOKOH PEJUANG DI SABAH

MAT SALLEH
Mat Salleh
Mat Salleh
Di negeri Sabah pula, Mat Salleh adalah seorang wira Sabah yang telah bangkit memperjuangkan hak-hak penduduk Sabah dengan memberikan penentangan yang hebat ke atas penjajahan Inggeris di Sabah. Nama sebenar Mat Salleh ialah Datu Mohammad Salleh Bin Datu Balu dan beliau telah dilahirkan di Inanam. Beliau adalah berasal daripada keturunan Bajau dan Suluk. Mat Salleh telah mengambil tugas bapanya iaitu Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah dari pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.
Kebangkitan Mat Salleh adalah yang terbesar yang terpaksa dihadapi oleh SBUB (Syarikat Berpiagam Borneo Utara) di Sabah. Kebangkitan itu berpunca setelah pentadbiran SBUB menggubal banyak peraturan baru yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat tempatan. SBUB telah memperkenalkan pelbagai peraturan yang telah membebankan hidup rakyat seperti cukai beras, cukai kepala dan lesen perahu, Malah, SBUB juga turut mengamalkan amalan buruh paksa. Pada mulanya, Mat Salleh dan beberapa orang pembesar tempatan cuba mengadakan rundingan secara aman dengan Gabenor Beaufort di Sandakan pada tahun 1895 mengenai peraturan-peraturan yang membebankan itu, namun permintaan beliau tidak dilayan walaupun terpaksa menunggu sehingga 10 hari untuk berjumpa dengan Gabenor tersebut. Disebabkan layanan yang tidak wajar itu, Mat Salleh menjadi bertambah marah.
Akhirnya pada tahun 1896, Mat Salleh telah membina kotanya di Ranau dan terus melancarkan serangan terhadap pihak Inggeris. Dari sini bermulalah penentangang bersenjata oleh Mat Salleh terhadap bangsa asing itu. Pada masa yang sama, SBUB telah membakar kampung Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897. Syarikat itu turut menawarkan ganjaran hadiah bernilai sebanyak 200 dolar kepada sesiapa yang berjaya menangkap beliau. Sebagai balasan, Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya telah menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Inggeris di Pulau Gaya dan seterusnya membakar Pejabat Residen Inggeris di Ambong.
Pada bulan Disember 1897 dan Januari 1898, pihak Inggeris telah melancarkan serangan ke atas kubu Mat Salleh di Ranau. Pada serangan yang kedua itu, pihak Inggeris berjaya menawan Ranau dan Mat Salleh serta pengikutnya terpaksa berundur ke Tambunan di mana beliau telah membina satu lagi kubu pertahanan baru yang kuat di situ.Di dalam kubu tersebut, setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan rahsia di bawah tanah yang digunakan untuk meminta bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung oleh musuh.
Pada bulan April 1898, satu rundingan telah dibuat di antara William Cowie, Pengarah Urusan SBUB dengan Mat Salleh di Menggatal. Di antara isi kandungan perjanjian tersebut adalah Mat Salleh serta pengikutnya diampunkan oleh SBUB dan beliau bebas mentadbir kawasan Tambunan, tetapi hendaklah sentiasa melaporkan pergerakannya kepada SBUB. Namun, tidak berapa lama selepas itu, SBUB telah memgkhianati perjanjian tersebut dengan mengambil alih kawasan Tambunan. Kemudian, pada bulan Januari 1900, SBUB telah menyerang secara besar-besaran ke atas kubu Mat Salleh di Tambunan dan berjaya menjatuhkan kota itu. Mat Salleh telah terkorban di dalam peristiwa yang penuh bersejarah itu.
Kini, sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang SBUB telah menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia adalah seorang pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan bangsa.




ANTANOM
Antanom
Antanom
Antanom adalah seorang pahlawan Sabah yang terkenal dengan gelaran ‘Anak Rimba Berjiwa Besar’ dan sebagai pemimpin yang mengetuai ‘Pemberontakan Rundum’. Antanom atau juga dikenali dengan nama Ontoros telah dilahirkan pada tahun 1875 di kawasan Masinpunon di Sungai Salarom. Antanom adalah anak keturunan suku kaum Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum Murut. Beliau telah dilantik sebagai pemimpin kaum Murut untuk menentang penjajah Inggeris terutamanya SBUB (Syarikat Berpiagam Borneo Utara).
Antanom adalah seorang pahlawan yang mempunyai peribadi yang keras, tegas, berani, handal bermain senjata dan mempunyai semangat sedia berkorban yang tinggi dalam melindungi keluarga dan kaumnya. Beliau telah bangkit menentang penjajah Inggeris pada tahun 1915 disebabkan beberapa faktor yang telah mencabar kewibawaannya. Pertamanya, SBUB telah melarang pembukaan tanah baru untuk pertanian yang menyebabkan kaum Murut kekurangan beras. Sebaliknya, tanah-tanah tersebut dicerobohi pula oleh SBUB yang ingin membina jalan di situ. Kaum Murut jugalah yang dipaksa menjadi buruh paksa dalam membina jalan-jalan itu serta merentang kawat telegraf di antara Tenom ke Rundum tanpa sebarang upah. Upah yang diberikan hanyalah sekadar rokok tembakau sahaja.
Keduanya, hak kaum peribumi Murut juga turut dicerobohi apabila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Bahkan, mereka turut dikenakan dengan pelbagai cukai yang tidak wajar seperti cukai kepala (sedolar seorang), cukai tanaman pindah (lima puluh sen setiap ekar), cukai pokok kelapa (dua puluh lima sen sebatang) dan banyak lagi cukai-cukai yang lain. SBUB juga telah mengasingkan suami isteri kaum Murut dan jikalau mereka ingin bertemu, bayaran sebanyak sedolar dikenakan. Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar seorang Pegawai Daerah bernama Mazwell Hall ke Rundum untuk menyekat amalan memburu kepala. Semua perubahan-perubahan demikian telah menaikkan kemarahan kaum Murut kerana kehidupan mereka sebelum ini bebas dan merdeka telah diganggu.
Untuk menebus maruah kaum Murut, Antanom telah melancarkan satu pemberontakan yang disertai oleh kaum Murut daripada beberapa kawasan seperti Tenom, Keningau, Pensiangan, dan perbatasan daerah Borneo. Pada bulan Mac 1915, Pemberontakan Rundum telah berlaku apabila Antanom serta kaumnya telah melancarkan serangan ke atas Rundum dan berjaya memusnahkan pusat pentadbiran SBUB disitu.
Beliau kemudiannya telah membina sebuah kubu pertahanan yang digelar ‘Silar Pinikrit’ di Sungai Selangit. Pada bulan April 1915, SBUB telah melancarkan serangan di kubu pertahanan ini dan Antanom telah terpedaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai yang dirancang SBUB. Namun, sebaliknya orang upahan Inggeris telah memenggal kepalanya.
Pengikut-pengikut Antanom yang lain telah dikenakan tindakan tegas oleh SBUB dengan memaksa mereka menjadi buruh paksa untuk memasang telegraf. Mereka juga dikehendaki bersumpah untuk taat setia kepada SBUB. Bagi memperingati jasa Antanom, namanya telah digunakan untuk menamakan daerah di negeri Sabah ini dan sebuah tugu khas telah dibina sebagai penghormatan di atas perjuangannya.
Kesimpulannya, Mat Salleh dan Antanom merupakan tokoh pejuang yang berjuang bagi mempertahankan Sabah daripada dijajah oleh orang asing. Ini merupakan suatu kebanggaan kerana terkorban semasa mempertahankan tanah air. 

No comments:

Post a Comment