Untuk menngekalkan perpaduan sesebuah negara bukanlah
mudah. Namun begitu, Malaysia masih lagi mampu untuk mengekalkan perpaduan dan
kemasarakatannya. Ini adalah sesuatu pencapaian yang membangakan buat semua
yang bergelar rakyat Malaysia. Tambahan pula, Malaysia sering kali menghantar
wakil untuk ke luar negara bagi memberikan pendapat tentang cara-cara
mewujudkan dan mengekalkan perpaduan kepada negara-negara yang sedang
berperang. Contohnya, lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Filipina bagi memberi
pendapat mengatasi konflik yang telah wujud sekian lama di negara
tersebut.
Antara faktor yang membawa kepada perpaduan dan kemasyarakatan di Malaysia
ialah:
Melalui Peristiwa 13 Mei 1969 Dijadikan Teladan
Pada tanggal 13 Mei 1969, keharmonian negara telah
dikejutkan dengan peristiwa yang hampir meragut dan menghancurkan keutuhan
negara. lebih-lebih lagi baru enam tahun usia pembentukan Malaysia. Tragedi ini
berlaku ekoran daripada pelbagai isu-isu sensetif telah disentuh bagi mencapai
kemenangan dan untuk kepentingan diri sendiri.
Bagi mengatasi Kerajaan telah mewujudkan pelbagai dasar
ke arah pembentukan integrasi nasional.
Antara dasar–dasar dan pelan tindakan khas kerajaan ialah
Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 – 1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991 –
2000, Dasar Wawasan Negara dan juga Program 1 Malaysia.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 merupakan dasar yang
diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak semasa berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Antara faktor berlakunya peristiwa itu ialah kerana keadan ekonomi Tanah Melayu
pada ketika itu secara keseluruhannya boleh dikatakan dikuasai oleh masyarakat
dari kaum Cina. Masyarakat Cina turut menguasai perniagaan dan bank di kawasan
bandar dan juga kawasan-kawasan perlombongan bijih timah. keadan ekonomi yang
dikuasai oleh sekolompok masyarakat sahaja membawa kepada berlakunya
ketidakseimbangan ekonomi serta menimbulkan perasaan iri hati dan
benci dalam kalangan penduduk di Malaysia.
Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca tercetusnya
perusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya telah diambil. Penggubalan dasar
ini bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dengan memperbetulkan
ketidakseimbangan sosio – ekonomi antara kaum dan wilayah. Ia juga
diwujudkan untuk mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang
perniagaan dan perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati
dalam masyarakat.
Bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, usaha
diteruskan lagi dengan pelancaran dasar pembangunan nasional pada 17 Jun 1991.
Dasar tersebut meneruskan pencapaian DEB dalam pembasmian kemiskinan dan
penyusunan semula masyarakat.
Objektifnya ialah untuk membina sebuah negara yang
bersatu padu dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, aman dan
makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun negara.
Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau dikenali sebagai
Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, sosial dan
politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan
pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial,
kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan mampu menjadi
sebuah negara yang bersatu padu di mana masyarakat Malaysia mempunyai nilai
moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta
mampu bersaing.
Konsep 1 Malaysia
Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd
Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk
memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin
perpaduan yang lebih erat.
Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang
mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana
Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”
Untuk mencapai kemajuan bagi negara,sikap penerimaan
antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila
perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih
lancar.
Logo 1 Malaysia
Pendidikan
Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan
menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan penubuhan
sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan
proses integrasi antara kaum.
Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid
pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin,
padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah.
Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami
antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi
dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu
memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.
Inisiatif ini diambil pengajaran daripada sistem
pendidikan penjajah dimana sekolah ditubuhkan mengikut kaum. Contohnya, sekolah
Cina untuk kaum Cina, sekolah India untuk kaum India dan begitu juga dengan
bangsa Melayu. Sukatan pelajaran yang dipelajari juga adalah berbeza-beza
kerana masing-masing sekolah menggunakan sukatan pelajaran dari negara asal.
mereka juga menggunakan bahasa ibunda dalam pertuturan seharian menyebabkan
komunikasi sukar untuk dilakukan dengan kaum lain.
Oleh itu, penubuhan sekolah kebangsaan adalah faktor yang
membawa kepada perpaduan dan kemasyarakatan di Malaysia. Ini kerana, dengan
adanya sekolah ini, pelajar dapat berkomunikasi antara satu sama lain
menggunakan Bahasa Melayu. Ini memudahkan lagi proses suai kenal dan memahami
antara satu sama lain.
Penambahbaikan telah dilakukan dalam kurikulum. Antara
usaha telah dilaksanakan antaranya adalah:
1)
Menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar
yang utama.
2) Kurikulum yang sama dan
berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
3)
Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua.
4) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya - menyediakan
pendidikan yangg menyeluruh, seimbang & bersepadu;
5) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang & mutu
dengan mengagihkan peruntukan secara adil & memberi perhatian khas kepada
golongan yang kurang bernasib baik & kawasan luar bandar atau pedalaman.
Sekolah Kebangsaan
Penubuhan Parti Politik
Penubuhan parti politik di negara kita bermula sekitar
1940. hal ini kerana wujudnya kesedaran politik rentetan pengenalan Malayan
Union. Penubuhan Malayan Union adalah ditentang sama sekali oleh orang Melayu
kerana kerakyatan Jus Soli memberikan hak sama rata kepada semua kaum dan ini
dianggap boleh melemahkan lagi kedudukan orang Melayu. Oleh itu, Malayan Union
dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Selepas itu, UMNO, MCA,
MIC pula ditubuhkan dengan objektif awal untuk membela kedudukan kaum
masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Masing-masing kaum menpunyai tempat untuk mengadu dan
aduan tersebut akan disuarakan dalam persidangan yang dilaksanakan. Sistem ini
juga lebih teratur kerana pemimpin parti politik yang akan membela kedudukan
kaum masing-masing dalam apa jua aspek berbanding dengan menggunakan teknik
pertumpahan darah seperti peristiwa 13 Mei. Ini dapat mengelakkan sikap berat
sebelah seterusnya membawa kepada pertumpahan darah. Ini juga dapat membawa
kepada perpaduan dan kemasyarakayan di negara ini.
Terbentuknya Parti Perikatan hasil gabungan UMNO, MCA,
MIC seterusnya merapatkan lagi hubungan antara orang Melayu, Cina dan India
dalam bidang politik yang bermaufakat dalam usaha memupuk kerjasama kaum ke
arah mencapai perpaduan. Perpaduan dan kemasyarakatan yang dibentuk dapat
menjamin keadan negara yang aman dan damai. Selain itu, rakyat juga dapat
berkerjasama antara satu sama lain.
Tokoh-Tokoh Politik MCA, UMNO Dan MIC
Peranan Media Massa
Media massa merupakan satu saluran yang dapat
menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media massa boleh
dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Menurut
L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi
sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden.
Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat
serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal,
2002: xvii). Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi
memperbaiki hubungan antara kaum yang menjadi semakin buruk ini.
Media cetak seperti surat khabar, majalah dan buku
membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan memaparkan info
mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang terdapat di dalam
Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami
perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa hormat-menghormati antara satu
sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap individu.
Di samping itu, media elektronik seperti televisyen,
radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu peralatan yang dapat
menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah. Media elektronik
memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh memupuk semangat
perpaduan di kalangan masyarakat.
Sebagai contohnya, kempen–kempen yang ingin dijalankan
oleh kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan haruslah dibantu oleh media
elektronik kerana saluran ini adalah alat yang berkesan dalam penyampaian maklumat
pada zaman teknologi yang canggih ini.
Peranan ini membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam
kempen berkenaan dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi
menanam semangat perpaduan.
Contoh Peranan Media Massa
Pelaksanaan
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat
memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan
bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan
aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.
Dengan itu, mereka akan terdedah
kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman
yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang
bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut
memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.
Program PLKN
Kesimpulannya, terdapat
banyak faktor-faktor yang membawa kepada perpaduan dan kemasyarakatan bagi
menghasilkan negara yang aman dan sejahtera. selain itu, perpaduan kaum
merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan
hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang
bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.
Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan
dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang
dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati
lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati,
penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
No comments:
Post a Comment